mengapa masakan ibu paling
sedap???
Posted by nurul
izzah binti ahmad badawi on June 14, 2011 at 10:58am in Sembang
Sembang Umum
Masakan ibu adalah masakan
yang paling sedap. Begitu selalunya dikatakan orang. Realitinya pun begitu.
Percayalah seorang anak akan sentiasa merindui masakan ibunya jika terpisah
sekian lama. Rindu masakan ibu yang sukar ditandingi. Walaupun si anak mungkin
pernah menjamah makanan yang lebih mahal, eksotik dan sebagainya tetapi manakan
sama masakan ibu. Mengapa?
Kata orang, itulah penangan
'air tangan'. Memasak melalui pelbagai proses daripada menyiang, membasuh,
menggaul, menguli dan lain-lain aktiviti yang kebanyakannya melibatkan sentuhan
tangan secara langsung. Tangan tukang masaklah yang paling banyak menyentuh
makanan. Jadi, dalam masakan ibu, air tangannyalah yang paling banyak
'terlarut' bersama bahan-bahan masakan.
Benarkah air tangan itu yang
memberi kelazatan pada makanan yang dimasak. Benarkah begitu? Hakikatnya, itu
bukan sebabnya. Air tangan yang dimaksudkan bukanlah 'air' dalam erti kata yang
fizikal dan material. Air tangan sebenarnya ialah aliran kasih sayang,
kesungguhan, keceriaan dan ketulusan hati seorang ibu yang memasak untuk
anaknya. Hati itulah yang mengalirkan 'air tangan'. Jadi, air tangan pada
hakikatnya ialah aliran kasih-sayang semasa ibu memasak untuk anaknya.
Pakar motivasi dan psikologi
sepakat menegaskan bahawa orang yang melakukan satu kerja dengan penuh
kasih-sayang, ceria dan tulus, hasil kerjanya akan berkualiti. Dorongan
kerjanya bukan untuk 'mendapat' tetapi untuk 'memberi'. Seorang ibu yang
memasak adalah didorong untuk 'memberi' kasih-sayang kepada anaknya, berbanding
seorang 'chef' yang memasak atas dorongan ganjaran komersial.
Justeru semakin ikhlas, ceria
dan kasih seseorang pada pekerjaannya dan kepada siapa dia tujukan atas
kerjanya itu, maka semakin tinggilah kualiti kerja tersebut. Dan semakin kurang
keikhlasan, keceriaan dan kasih seseorang semasa melakukan kerjanya, maka
semakin rendahlah kualiti dan produktiviti kerja tersebut.
Realitinya, 'air tangan' bukan
hanya ada pada kerja memasak. Ia ada dalam setiap jenis pekerjaan. Ia adalah
aliran kasih sayang dan kecintaan yang seharusnya mengalir dalam setiap
pekerja, pemimpin, guru, imam, jurutera, doktor, jururawat sehingga seorang
buruh kasar. Setiap individu Muslim, wajar bekerja kerana Allah untuk
berkhidmat sesama manusia. Seorang yang paling kasihkan Allah, dialah yang
paling kasihkan manusia dan orang seperti inilah yang paling tinggi kualiti
kerjanya.
Falsafah di sebalik 'air
tangan' inilah saya kira dapat merealisasikan dorongan Rasulullah saw agar
setiap kita memperelokkan kerja menerusi sabdanya:
"Bahawasanya Allah s.w.t
suka apabila seseorang darikamu membuat sesuatu kerja, dia memperelokkan
kerjanya."
No comments:
Post a Comment