Posted: 19 Feb 2012 12:10 AM PST
6 Fakta & Mitos Sebenar Kanser Payudara | Kanser payudara sering kali mengancam nyawa manusia terutama sekali golongan wanita dan merupakan kanser paling biasa di kalangan hampir semua manusia di pelosok dunia.
Terdapat variasi yang nyata dalam kadar insiden kanser payudara ini
mengikut geografi. Insiden tertinggi adalah di Eropah Utara dan Amerika
utara, sederhana di negara-negara Mediterranean dan Amerika Selatan dan
paling rendah di Asia dan Afrika. Umur purata diagnosis yang dilaporkan adalah lebih kurang 50 tahun di negara membangun dan 60 tahun di negara-negara Barat.
Pun begitu, kanser payudara bukan hanya tertumpu kepada golongan wanita sahaja, sebaliknya, juga menyerang golongan lelaki walaupun dengan hanya jumlah yang kecil.
Ramai yang terpedaya dengan beberapa mitos yang disebarkan mengenai punca terjadinya kanser payudara dalam tubuh badan manusia.
Namun, terdapat kajian yang dilakukan telah membetulkan kembali
tanggapan mitos yang sudah sebati dalam pemikiran masyarakat kita.
Terdapat enam fakta dan mitos yang dikemukan oleh penulis. Antaranya:
1. Penggunaan agen antipeluh mengakibatkan kanser payudara.
Dalam kajian tersebut, tiada
bukti menunjukkan bahawa bahan aktif dalam agen antipeluh atau
mengurangkan perpeluhan di bawah ketiak mempengaruhi risiko kanser
payudara. Hubungan antara kanser payudara dan agen anti peluh
adalah berdasarkan maklumat yang tidak tepat mengenai anatomi dan kanser
payudara.
2. Semua benjolan adalah kanser.
Secara umumnya, 80% benjolan adalah tidak merbahaya iaitu bukan kanser dalam payudara terutama di dalam golongan wanita muda di bawah 35 tahun. Akan tetapi risiko kanser payudara ini akan meningkat dengan bertambahnya usia.
3. Semakin besar ukuran payudara, semakin tinggi risiko.
Jumlah tisu payudara seseorang wanita tidak mempengaruhi risiko pertumbuhan kanser payudaranya. Saiz payudara bukan faktor risiko yang signifikan bagi kanser payudara.
4. Mammogram menyebabkan kanser.
Hakikatnya, mammogram adalah prosedur
yang selamat serta melibatkan radiasi yang sangat minimum untuk
mewujudkan imej payudara yang jelas. Sistem mamografi diperakui selamat, dikawal ketat dan pengggunaan dos radiasi yang rendah.
5. Keguguran cetusan menyebabkan kanser payudara.
Beberapa kajian memberikan data yang kuat bahawa sama ada keguguran cetusan atau spontan tidak mempunyai pengaruh secara keseluruhan terhadap risiko kanser payudara.
6. Implan payudara menyebabkan kanser.
Beberapa kajian mendapati implan payudara
tidak meningkatkan risiko kanser payudara, walaupun implan payudara
silikon boleh menyebabkan pembentukan parut yang tidak berbahaya pada
payudara.
Oleh itu, kita digalakkan untuk melakukan
pemeriksaan lanjut sekiranya terdapat sesuatu perubahan yang ketara
kepada payudara kita. Pemeriksaan boleh dilakukan di hospital atau pun
melakukan sendiri dengan teknik-teknik yang betul.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kajian ini, bolehlah melayari laman sesawang Persatuan Siswa-siswi Islam perubatan Universiti Malaya (PSIPUM) – LINK via MyNewsHub.
No comments:
Post a Comment