SENYUMAN BUAT SUAMI
ADA yang bertanya, bagaimana
saya mahu menjadi wanita atau isteri solehah. Adakah perlu warak (kuat
beribadat), memakai purdah atau pandai membaca al-Quran?
Wanita solehah ialah mereka
yang pandai menghibur dan melayan suami dengan mempersembahkan segala
kemesraan, kemanjaan dan cinta sepenuh hati sehingga suami sentiasa rindukan
dirinya malah tidak mahu berpisah walaupun sekejap.
Bukan perkara yang susah mahu
menjadi wanita solehah. Hanya dengan senyuman yang manis dan menambat hati
suami, mereka boleh menduduki carta itu.
Ada yang berkata senyuman
isteri yang dilakukan dengan ikhlas semata-mata untuk suami lebih baik daripada
menggunakan produk alat solek jenama mahal yang berharga ratusan ringgit.
Pandangan yang mesra dan
lembut ibarat celak yang paling indah menghiasai sepasang matanya. Kelembutan
dan kehalusannya berbicara seperti pakaian yang paling cantik dipakainya.
Suami mana akan memandang ke
belakang apabila isterinya sentiasa harum dan bersih. Malah, aroma itu pasti
memikat selera suami untuk sentiasa berada di samping isteri daripada berborak
bersama rakan di kedai kopi.
Berapa ramai isteri yang
memberikan senyuman manis, pandangan yang mesra dan lembut serta wajah yang berseri-seri
ketika mengiringi suami keluar rumah atau menyambut kepulangannya di muka
pintu.
Rasululullah s.a.w pernah
bersabda bahawa isteri solehah ialah yang menggembirakan suaminya apabila suami
melihat kepadanya.
Bayangkan suami yang pulang
dalam keadaan letih kerana beban tugas di pejabat ditambah kesesakan jalan
raya, isteri yang menyambut di muka pintu menguntum senyuman, wajah yang
dihiasi cantik, menolong membawa beg, membuka sarung kaki dan menyediakan
minuman untuk menghilangkan dahaga.
Memang sukar mencari ciri-ciri
wanita sedemikian kerana kebanyakan isteri terutama yang bekerja terlalu
terbawa-bawa perangai mereka di pejabat sehingga suami tidak diberi perhatian.
Akhirnya, suami jemu dan sengaja balik lewat ke rumah.
Kadangkala kita tertanya-tanya
mengapa sesetengah lelaki suka mencari pelacur untuk memuaskan nafsu. Tidakkah
mereka takut dengan hukum Allah dan risiko jangkitan penyakit yang boleh mereka
dapat.
Sebenarnya, sesetengah lelaki
gemar mencari perempuan lacur kerana mereka mendapat layanan kelas satu ketika
bersama wanita berkenaan. Mereka tidak mendapatnya ketika di rumah apatah lagi
isteri yang terlalu sibuk dengan kerja sehingga mengabai nafkah batin kepada
suami.
Mungkin ada yang berkata,
wanita lacur memberi layanan kelas satu kerana mereka dibayar atau mendapat
tip.
Adakah isteri juga mahu suami
memberi bayaran kepada mereka semata-mata untuk mendapatkan layanan kelas satu?
Jika isteri mempunyai pandangan sedemikian, jangan melenting jika dikatakan
mereka juga sama dengan pelacur.
Layanan isteri kepada suami
tidak perlu kepada unsur kewangan. Sebagai ketua rumah tangga, suami perlu
menyediakan keperluan kepada isteri termasuk makan minum, pakaian, perhiasan
dan belanja isteri.
Jika perkara ini dilaksanakan,
apa alasan isteri untuk tidak memberi layanan kelas satu kepada suami.
Beruntung isteri yang tahu
melayan dan menghiburkan suami kerana selain mendapat kenikmatan, mereka juga
mendapat ganjaran pahala daripada Allah.
Isteri yang sengaja enggan
melayan nafsu suami akan dilaknat malaikat kerana tidak menunaikan
tanggungjawab sebagai suri rumah tangga.
Kajian mendapati suami yang
mendapat belaian dan kasih sayang isterinya akan cemerlang di tempat kerja dan
masyarakat. Mereka tidak memerlukan apa-apa lagi melainkan isteri di sisi.
Mungkin ramai yang tidak
percaya bahawa semangat suami lebih tinggi jika mendapat kasih sayang isteri.
Suami manusia biasa, walaupun segagah atau segarang mana mereka, jika dimanja
atau dibelai, mereka ibarat harimau jinak.
Justeru, isteri perlu
mempunyai teknik atau kaedah untuk memikat suami, bukan semata-mata wajah yang
jelita atau harta yang banyak.
Bayangkan ketika kecil, anak
mendapat perhatian dan kemanjaan ibu bapa, tentu anak membesar menjadi manusia
yang baik. Tetapi jika tiada kasih sayang ibu bapa, anak pasti membesar sebagai
manusia yang tidak terkawal.
Oleh itu, isteri perlu faham, walau setinggi mana pangkat, kedudukan, harta dan darjat mereka, jangan lupa memberi kasih sayang dan kemanjaan kepada suami. Senyuman, kemanjaan, pakaian dan haruman adalah senjata untuk memancing manusia bernama lelaki
No comments:
Post a Comment